UniMAP Raih 15 Emas Rangkul Johan Keseluruhan MTE 2014

 

 

Kuala Lumpur, 22 Februari - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul johan keseluruhan apabila berjaya meraih 15 pingat emas pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2014 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini. 


UniMAP juga turut meraih 11 perak dan 8 gangsa dari 35 produk yang dipertandingkan sekaligus memingkatkan prestasi UniMAP berbanding pada MTE 2013 yang meraih 7 emas, 10 perak dan 10 gangsa dari 27 produk. 

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin menyifatkan kemenangan ini adalah kemenangan yang dijangkakan berikutan pemilihan produk yang teliti telah dilaksanakan di peringkat UniMAP. 

”Pemilihan produk penyertaan bagi MTE2014 telah dilaksanakan dengan penuh teliti berdasarkan pengalaman kita yang melihat corak penjurian di MTE adalah lebih ketat dan bersifat akademik serta mempunyai nilai komersial yang tinggi. 

”Selain menitikberatkan ketepatan dari segi kategori produk, semua produk yang dipilih adalah untuk perkembangan penyelidikan dan perkongsian ilmiah di kalangan penyelidik,” katanya. 

Datuk Kamarudin juga nyata gembira dengan pencapaian yang diraih pada MTE2014 di mana ianya adalah pameran penyelidikan pertama peringkat kebangsaan yang disertai oleh UniMAP dan telah membuahkan kejayaan yang cemerlang. 

”UniMAP telah menyenaraikan pameran yang bakal kita sertai pada tahun ini dan MTE2014 adalah permulaan yang baik kepada UniMAP sekaligus membakar semangat penyelidik UniMAP untuk terus mempamerkan kecemerlangan dalam pameran yang lain pula,” katanya.

Lebih membanggakan lagi apabila enam produk UniMAP di mana lima daripadanya adalah penerima pingat emas telah meraih The Best Award yang menerima sijil dan wang tunai RM1000 serta Special Award yang melayakkan penerimanya menerima sijil penyertaan.

Tiga emas UniMAP yang dinobatkan The Best Award adalah hasil penyelidikan Prof. Dr. Syed Alwee Aljunid Syed Junid dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Komputer dan Perhubungan yang bertajuk ’High Capacity OCDMA System Using Novel Flexible Cross Correlation (FCC) Code’; Dr. Mohd Hafiz Fazalul Rahiman dari PPK Mekatronik dengan produk penyelidikan bertajuk ’Ultrasonic Tomograph’; dan Prof. IR. Dr. Rezuwan Kamaruddin yang bertajuk ’Naturally Ventalited Tropical Greenhouse Structure for Commercial Harumanis Production’. 

Manakala dua lagi pingat emas UniMAP yang berjaya memukau juri dari luar negara hingga layak menerima Special Award dari Jepun dan Taiwan adalah masing-masing dari Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah yang bertajuk ‘GeoBRICK MACHINE: Towards Green Construction Materials’; dan juga Dr. Amir Razif Arief Jamil Abdullah yang bertajuk ‘Hybrid Subcarrier Multiplexing Modified Double Weight OCDMA Fiber-Wireless Access Network’. 

Satu lagi produk yang menerima Special Award dari Jepun adalah hasil penyelidikan Dr. Latifah Munirah Kamarudin yang bertajuk ‘C-SURF: Automated Channel Selection (ACS) in IEEE 802.15.4 WSN 2.4GHz ISM Spectrum For Coexistence Mitigation’ turut meraih pingat perak MTE2014. 

MTE 2014 dianjurkan buat kali ke – 13 oleh Malaysian Association Research Scientists (MARS) dan PROTEMP Exhibition Sdn. Bhd. bermula 20 hingga 22 Februari 2014 dengan membariskan lebih 700 produk penyelidikan dari dalam dan luar negara yang mempunyai nilai komersial yang tinggi. 

MTE 2014 buat pertama kalinya juga memperkenalkan Asian Youth Innovation Awards and Expo 2014 yang menjadi platform bagi mengembangkan bakat penyelidik muda berusia bawah 25 tahun dalam bidang penyelidikan dan mendapat penyertaan 46 produk dari kolej, politeknik, universiti dan sekolah dari dalam dan luar negara.

 

 

 

Hits :
Thursday the 23rd. Official Website Research & Innovation Office

 

 

     

     

Research & Innovation Office 4 Level, Bangunan KWSP,Jalan Bukit Lagi, 01000,Kangar Perlis 

TEL : +604- 9798729 | FAX : +604- 9798039 

 

Best viewed using Google Chrome with resolution of 1024 x 768   

 

 

 

 

. Best online poker sites - All rights reserved.